Monday, October 26, 2009

Bincangkan secara kritis kemunculan Maratha sebagai sebuah kuasa yang terkuat di India dan jelaskan faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya

1. Pengenalan
Episod perkembangan sejarah di rantau Asia Selatan khususnya India telah menunjukkan transformasi yang menarik dalam bidang pemerintahan negara dan empayar. Setiap kuasa yang mewarnai tampuk pemerintahan di benua kecil India ini mempunyai keunikan yang tersendiri sehinggakan mereka mampu meluaskan kuasa serta mempertahankanya dalam tempoh masa yang panjang. Bermulanya Tamadun Indus telah mula menampakkan suatu entiti politik yang kukuh dalam proses membentuk sebuah empayar. Merujuk kepada sejarahnya yang terdahulu, India telah banyak dikuasai oleh kuasa yang mampu memajukan dan menjadikan rantau ini sebuah kuasa yang amat digeruni. Setiap kemunculan dan keruntuhan sesebuah empayar mempunyai sebabnya yang tersendiri, namun hal ini amat berkaitan dengan peranan yang dimainkan oleh watak pemerintah di setiap zaman. Berdasarkan konteks soalan, kemunculan Maratha yang disebut sebagai kuasa yang terkuat pada zamannya telah berjaya menyingkirkan kuasa sebelumnya iaitu Empayar Moghul. Empayar ini telah mengecapi zaman kegemilangannya namun setelah sekian lama empayar ini mula merosot. Persoalannya mengapa hal ini boleh berlaku. Jelasnya pasti terdapat beberapa faktor yang boleh membawa kepada kejatuhannya. Maka perbincangan ini dimulakan dengan kemunculan Maratha sebagai satu kuasa yang kuat seterusnya kita akan lihat pula faktor yang menjadi penyumbang kepada keruntuhannya.
2. Kemunculan Maratha
Kemunculan Empayar Maratha sering kali dikaitkan dengan kemerosotan yang dialami oleh empayar sebelumnya iaitu Moghul. Empayar Islam yang diketuai oleh Aurangzeb telah banyak menekan masyarakat tempatan terutamanya Masyarakat agama Hindu. Sifat Aurangzeb yang terlalu tegas telah menyebabkan ramai kelompok masyarakat lain di Asia Selatan ini bangun memberontak, termasuk Maratha sendiri. Kebanyakan penentangan berlaku disebabkan oleh pemerintahan kuku besi yang diamalkan oleh Aurangzeb langsung tidak digemari olah masyarakat bukan Islam.

Kebangkitan yang berlaku telah menunjukkan satu pertumbuhan baru dalam pembentukan empayar Maratha. Empayar yang hebat ini telah diasaskan oleh Shivaji pada 1663. Beliau merupakan seorang putera kepada Jijabai dan Shaji Bonsle yang berasal daripada bangsa Maratha. Sejak kecil beliau telah dididik dengan ilmu agama Hindu oleh ibunya serta gurunya Kondadewa. Kisah-kisah Mahabrata dan Ramayana telah menjadi santapan rohani beliau sejak dulu lagi dan bangsanya mengharapkan beliau mengembalikan kegemilangan kerajaan nenek moyang mereka yang telah runtuh sejak abad ke-14. Profilnya yang tinggi telah berjaya mempengaruhi masyarakat Hindu dengan cogan kata Hindu-pad-padshashi yang membawa maksud empayar Hindu. Sepanjang usahanya beliau telah berjaya meluaskan Empayar Hindu ini kira-kira 50000 batu persegi di sekitar wilayah Deccan. Kebangkitan yang berlaku ini adalah berpunca dari dasar anti-Hindu Aurangzeb seperti yang dijelaskan tadi.

Sepanjang sejarah penentangan dan pengasasan empayar ini, Shivaji sering dibayangi oleh Jeneral Afzal Khan iaitu panglima tentera Moghul yang handal. Walaupun begitu berkat usahanya yang gigih beliau berjaya menumpaskan Afzal Khan dalam petempuran di Chauts seterusya berjaya menawan Torana, Puvander dan Kodana. Pada tahun 1664 Shivaji dan tenteranya telah berjaya menguasai Surat, namun Aurangzeb telah melakukan serangan balas dan menyebabkan Shivaji terpaksa berundur ke Rajgarh. Kesan daripada kejayaan Shivaji ini maka beliau telah menaiki takhta kerajaan Maratha dan memakai gelaran Vikramaditya. Selepas pertabalan ini nampaknya empayar Maratha telah menjadi suatu kuasa yang kuat dan terbesar di India selepas kematian Aurangzeb.

Menyebut Maratha sebagai sebuah kuasa yang terkuat pada zamannya semestinya disertai oleh tampuk pemerintahan yang kukuh. Pencapaian empayar Maratha dalam kekuasaannya di India dibantu oleh kebijaksanaan tiga orang Peshwa (menteri). Mereka ini adalah Balaji Vishwanath (1713-1721), Baji Rao 1 (1720-1740), dan Balaji Baji Rao (1740-1761). Peranan yang dimainkan oleh Peshwa ini telah menjalankan pentadbiran secara tersusun dengan mengenepikan raja yang memerintah. Maknanya raja hanyalah sebagai simbol kerajaan atau lebih tepat raja hanya berfungsi sebagai boneka di Delhi. Peshwa sering terlibat dalam kekecohan istana Moghul di Delhi dengan memberikan sokongan kepada adik-beradik Sayyid yang mengetuai puak Hindustani. Persoalannya mengapa hal ini berlaku. Meskipun Maratha memberikan peluang raja Moghul bertakhta di Delhi namun ada pendapat sejarawan yang menyatakan tujuannya adalah ingin menjatuhkan wangsa tersebut.

Peshwa-Peshwa Maratha ini telah berjaya memperluaskan kuasa dari Punjab dan Rajastan di utara sehingga ke Tanjavur di selatan. Selain itu disebelah timurnya iaitu Oriia sehingga ke Gujerat dibarat. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada perluasan kuasa ini termasuk sikap tolak ansur mereka dalam menguruskan empayar. Hal ini dibuktikan bahawa empayar Moghul sebelum ini telah di berikan kepada Maratha sedangkan kuasa kerajaan islam ini terbatas. Walaupun pada hakikatnya Maratha yang berkuasa tetapi masih ada pihak luar yang menyimpan dendam terhadap serpihan kerajaan Moghul iaitu puak Afghan. Pada tahun 1751 Afghan telah menyerang Delhi dan pada tahun berikutnya Maratha telah membuat perjanjian dengan Moghul bahawa mereka akan berjanji melindungi Delhi. Maka secara tidak langsung Maratha terlibat dengan perang dengan Afghan. Sepanjang tempoh dari 1757 sehingga 1758 pertempuran dengan Afghan menunjukkan kejayaan dengan mematahkan serangan Ahmad Shah Abdali dan seterusnya melantik kembali raja di Delhi. Namun begitu kesan daripada bantuan dari kuasa Islam lain Afghan telah mennyerang Maratha sekali lagi pada tahun 1761 dan mencapai kejayaan. Semasa dalam pertempuran ini ramai askar Maratha terkorban termasuk Peshwanya iaitu Balaji Baji Rao maka selepas itu telah menunjukkan kelemahan yang ketara dalam empayar Maratha. Seterusnya kita akan lihat pula faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhan empayar ini.

3. Faktor yang membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Maratha.
Merujuk kepada kestabilan yang semakin kendur dalam empayar Maratha telah menunjukkan bahawa empayar ini berada didalam ambang kejatuhan. Terdapat pelbagai faktor yang diutarkan dalam menyokong hujah tersebut. Hal ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci berdasarkan bukti tertentu dalam mencari jawapan mengenai kejatuhan empayar ini.

Kesan Perang Panipat III
Kemerosotan empayar ini mula dilihat sejak zaman perang Panipat yang ketiga. Asalnya perang ini bertujuan menjamin keselamatan Raja Moghul di Delhi namun hasil pakatan kerajaan islam lain disekitar India telah menbawa kepada kejatuhannya. Kisah disebalik perang ini telah mengorbankan seramai hampir 75000 orang askar serta panglima yang handal. Mengapa hal ini boleh berlaku masih meninggalkan tanda tanya. Terdapat pelbagai pertikaiaan yang muncul kesan daripada peristiwa ini. Ada yang mengatakan bahawa tentera Maratha telah menerima tanparan yang hebat kesan daripada kehilangan Peshwa mereka dalam perang tersebut. Hal ini menyebabkan moral mereka jatuh seterusnya mengheret kepada kekalahan yang teruk. Sepanjang tempoh Maratha dan orang Islam sibuk berperang, Robert Clive iaitu pengasas empayar Inggeris di India telah belayar ke England dengan harapan untuk mengasaskan Empayar Inggeris di India.

Sistem militer yang lemah
Sepertimana yang kita tahu pada awal kebangkitan Shivaji tentera Maratha terdiri daripada bangsa Maharashtra maka sentimen yang digunakan itu telah berjaya mencuri perhatian masyarakat Hindu untuk berjuang demi kepentingan mereka. Namun selepas zaman Shivaji, Peshwa yang dilantik telah memperkuatkan sistem pertahanan dengan tenaga dari seluruh India malahan terdapat juga orang asing yang terlibat seperti Abyssinia, Arab, dan juga sebilangan orang barat. Pada asalnya penambahan ini nampaknya positif tetapi penyatuan ideologi yang kurang diterapkan maka secara logiknya kesetiaan setiap anggota kepada negara amat longgar.

Peshwa juga turut mengupah orang barat seperti Jerman, Portugis, Inggeris, Itali, Perancis malahan juga Armenia untuk melatih askar Maratha. Mereka ini walaupun telah di beri upah yang tinggi namun latihan yang diberikan adalah secara sambil lewa dan secara tidak langsung menberi kesan kepada modul latihan tentera Maratha. Hal ini menunjukkan mereka hanya mementingkan keuntungan sendiri dan ada dalam kalangan mereka yang membelot.

Ketiadaan pemimpin yang berwibawa
Selepas Balaji Baji Rao yang terkorban, tidak ada pun Pashwa yang mampu mentadbir dengan cekap. Kelihatannya pembesar negeri telah mendahului kuasa Peshwa dan telah melemahkan kuasa pusat di Poona. Hal ini turut disokong oleh kelemahan Peshwa Baji Rao II kerana perwatakan beliau yang buruk. Beliau telah menyebabkan pentadbiran menjadi kacau bilau dengan menyemai semangat permusuhan dalam kalangan pembesar. Tindakan sebegini telah menyebabkan pembesar menentang Baji Rao II. Kesannya beliau telah melarikan diri dan menandatangani Perjanjian Bassein (1802) dengan British. Melalui perjanjian sebegini telah membuka ruang kepada campur tangan British dalam hal kedaulatan Negara. Hal mengenai kemasukkan kuasa British akan dibincangkan selepas ini dengan lebih terperinci lagi.

Masalah dalaman empayar
Meskipun Maratha telah berjaya memperluaskan kuasanya ke seluruh Asia Selatan namun perpaduan secara telus sukar untuk digambarkan. Penyatuan organik yang dimaksudkan masih tidak mampu mewujudkan sebuah negara yang bersatu. Masalah sebegini sering muncul kerana tiada semangat bersama. Orang India kebanyakannya telah menyertai sebahagian tentera Inggeris dan berperang dengan Maratha sendiri, maka hal ini telah menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri. Sebilangan pembesar yang juga mengambil tindakan berdiam diri sekiranya suatu negeri lain dimanipulasikan oleh pihak EIC. Persoalannya mengapa hal ini boleh berlaku sedangkan mereka masih didalam rumpun yang sama serta mengamalkan prinsip hidup yang lebih kurang sama. Nampaknya falsafah Hindu-pad-padshahi yang digunakan oleh Shivaji untuk menaikkan semangat mereka semakin kurang efektif sehinggakan juga pada zaman Peshwa.

Dasar ekonomi yang tidak stabil
Sepanjang tempoh perang dengan Moghul para petani telah ramai yang menyertai pasukan tentera namun selepas tamat perang mereka didapai kurang berminat lagi untuk mengerjakan pertanian. Hal ini disebabkan sebilangan daripada mereka telah menjadi banduan dan tebusan. Persoalannya bagaimana masalah ini boleh belaku, jelasnya polisi yang digunapakai dalam merencana ekonomi sering tengelam dengan sentimen perperangan sehinggakan tiada makanan yang boleh dikerjakan bagi tentera mahupun rakyat. Terdapat pandangan sejarawan yang mengatakan kerajaan Maratha tidak melaksanakan rancangan ekonomi yang berkesan untuk menjana sumber pendapatan negara. Kebanyakan hasil hanya bergantung kepada cukai yang dipungut daripada wilayah-wilayah yang di takluk. Sepatutnya Peshwa yang memerintah mementingkan sumber dalaman dahulu supaya ada modal yang cukup dalam proses memperluaskan kuasa terhadap kawasan lain. Selain itu juga semasa perang, tentera Maratha telah membinasakan semua pertanian dan ternakaan di setiap wilayah yang diserang. Implikasinya pada tahun 1804 telah berlakunya kebuluran di Deccan yang menyebabkan pengorbanan jiwa dan harta benda.

Tiada penyatuan politik yang menyeluruh
Tampuk pemerintahan Peshwa Maratha yang berpusat di Poona seringkali menunjukkan bahawa sukar untuk menilai sejauhmanakah ada penyatuan politik yang berkesan. Asalnya dari sudut Geografinya mana mungkin Poona mampu mengawal keseluruhan India sedangkan ia terlaetak dibahagian barat. Sedangkan banyak kerajaan Islam lain contohnya, menguasai bahagian timur. Jelasnya wilayah yang berada jauh tidak dapat disatukan fahaman politiknya kerana berbeza pendapat dan pegangan. Maka secara logiknya Pemerintah pusat menjadi lebih lemah dan kurang dihormati oleh pembesar lain. Sedangkan dalam masa yang sama mereka sering berperang sesama sendiri merebut autoriti wilayah mereka. Faktor ini disokong oleh peristiwa pada tahun 1803, apabila Sindhia dan Bhonsle berperang dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris, Holkar mengambil inisiatif mendiamkan diri dan tidak membantu sedikit pun. Adakah mereka ini telah disogok oleh pihat Inggeris jawapannya masih belum pasti sehingga kini. Namaun pada tahun berikutnya Holkar pula telah di serang oleh EIC dan seperti biasa pembesar lain tidak membantu wilayah ini. Nampaknya permainan yang dilakukan oleh pihak EIC telah berjaya memecah belahkan mereka.

Keberkesanan sistem intipan pihak EIC.
Pihak Inggeris telah mendahului Maratha dalam mengintip tindak tanduk pemerintah Maratha. Hal ini telah menyebabkan pihak Inggeris mampu menang dalam setiap perang antara mereka. Strategi ini secara tidak langsung mampu melemahkan Maratha dari segi ketenteraan. Terdapat pelbagai propaganda dilayangkan bagi melemahkan semangat mereka dalam menentang EIC. Justeru dari beberapa sudut pendapat ini mempunyai kebenarannya yang tersendiri dalam menjelaskan mengapa Maratha akhirnya runtuh.

4. Perang Anglo-Maratha Pertama (1772-1783)
Merujuk kepada kejatuhan Maratha masih tidak dapat lari dari kelibat berperang dengan Inggeris. Selain penyataan yang dijelaskan sebelum ini perang dengan Inggeris juga turut menyumbang kepada bibit keruntuhan empayar ini. Pada 1772, Peshwa Madhav Rao mangkat dan menyebabkan berlaku rebutan kuasa antara Narayan Rao dan Ragunath Rao. Kalau masih ingat lagi Ragunath Rao telah meminta bantuan Pihak British dan menandatangai perjanjian Surat. Hal ini menunjukkan campur tangan secara langsung dalam sejarah India, namun EIC di Calcutta tidak merestui perjanjian ini kerana mereka merasakan Ragunath tidak layak dan tidak mahu terlibat dengan hal ehwal dalaman Maratha. Pada tahun 1775 tentera Inggeris terpaksa menyerang Maratha disebabkan kekacauan dan diakhiri Perjanjian Purandhar. Selang beberapa tahun selepas itu British sekali lagi menyerang dan kesudahannya pihak Maratha terpaksa mengadakan perjanjian yang lebih ketat iaitu Perjanjian Salbai (1802). Nampaknya disini Kerajaan Maratha secara tidak langsung melemahkan diri sendiri dan membuka peluang kepada kuasa asing.

5. Perang Anglo-Maratha kedua (1803-1806)
Sebab utama Perang yang kedua ini berlaku berpunca daripada kehadiran kuasa Perancis. Bagi mengelakkan Perancis bertapak kukuh, Inggeris telah mengambil tindakan wajar dengan menguasai lebih banyak kawasan. Selain itu juga pada 1802 telah berlaku pergolakaan dalam kerajaan di Poona. Peshwa Baji Rao II telah melarikan diri ke Bassein selepas kalah dan meminta perlindungan British. Kesannya banyak wilayah Maratha telah diletakkan dibawah perlindungan Inggeris selepas dirampas daripada pembesar yang memberontak.

6. Perang Anglo-Maratha ketiga (1817-1818)
Selepas Perjanjian Bassein British masih memperluaskan kuasa melalui perjanjian dengan pembesar tempatan seperti Raja Nagpur (1816), Peshwa (1817), Sindhia (1817).
Meskipun begitu masih terdapat penentangan yang hebat dari kalangan pembesar dan mencetuskan perang ketiga pada tahun 1817 dan akhirnya dimenangi oleh Inggeris dengan jayanya. Sesudah perang Anglo-Maratha yang ketiga ini secara rasminya tidak wujud lagi Empayar Maratha. Hal ini berlaku disebabkan tiada pemerintah yang berkaliber seterusnya bagi wilayah-wilayah Baji Rao II digabungkan dengan Presedensi Bombay. Manakala wilayah pembesar lain diletakkan dalam naungan British. Maka seperti yang kita semua maklum keruntuhan Empayar Maratha ini mempunyai perkaitan yang kuat dengan kehadiran British di bumi India.

7. Kesimpulan
Seperti yang dijelaskan dalam perbincangan sebentar tadi, pada awalnya, kemunculan Empayar Maratha ini telah memulakan suatu entiti baru dalam struktur sosial masyarakat di India.Peranan pemimpin kanannya yang berkaliber telah menjadikan kerajaan ini sebuah empayar yang digeruni. Secara keseluruhannya Empayar Maratha merupakan suatu kuasa yang muncul dengan gahnya di India. Perjuangan yang diaspirasikan oleh Shivaji sedikit sebanyak telah membawa kerajaan ini kearah mercu kejayaan dan mampu untuk menguasai benua kecil Asia Selatan ini. Namun sejak kehadiran pihak EIC dan juga masalah dalaman yang semakin meruncig serta diiringi beberapa faktor telah membawa kepada kejatuhan empayar ini. Jelasnya selepas kejatuhan Maratha, India telah mengaharungi kehidupan baru yang lebih moden dengan adanya kehadiran Inggeris. Walaupun begitu senario yang dipaparkan oleh sorotan semasa era kegemilanganna ini mampu untuk mewarnai sejarah India sehingga kini. Justeru wajarnya masyarakat India pada hari ini mangambil contoh yang terbaik dari sejarah mereka sendiri bagi menempuh rintangan yang mendatang pada masa depan.
8. Bibliografi

Beveridge, Henry, 1990, A Comprehensive History of India, Delhi.

Grover, B. L & Grover, S. 1995, A New Look at Modern Indian History ( From 1707 to the Present Day), Delhi: S Chand & Co.

Jackson, A.V. W, ( ed), 1975, History of India, New York.

Mill, James, 1978, The History of British India, New Delhi.

Ram Krishna Murkherjee, 1974, The Rise and Fall of The East India Company, New York.

Spear, Percival, 1961, India: A Modern History, New York: Macmillan.

Sumit Sarkar, 1989, Modern India, 1885-1947, London: Macmillan.

Tuck, Patrick, 1999, The East India Company: 1600-1859, London: Routledge.

Wolpert, Stanley, 1977, A New History Of India, New York: Oxford University Press.

1 comment:

  1. Online Casino | Free Casino Play in Jamul, Kolkata - Kadangpintar
    Play free casino slots in Jamul, Kolkata and play casino games online. 메리트 카지노 Find choegocasino top bonus offers from Kolkata, Kolkata, Kolkata, 온카지노 casino site, baccarat casino site, poker site, slots site

    ReplyDelete