Sunday, October 4, 2009

Pendudukan Jepun di Asia Tenggara

“ Kita bangsa Indonesia sedang menyelenggarakan dua macam revolusi iaitu yang pertama ialah revolusi nasional, untuk mencapai kemerdekaan Indonesia sepenuh-penuhnya. Bagi yang keduanya ialah revolusi sosial, untuk membaharui masyarakat kita menurut dasar keadilan sosial dan gotong-royong. Perjuangan yang dilakukan oleh rakyat pula ada dua sifatnya iaitu yang pertama ialah perjuangan yang bersifat bertempur karena keinginan rakyat untuk mempertahankan kehormatan bangsa dan Negara, dengan menerima pertempuran yang disorongkan kepadanya manakala yang keduanya ialah pembangunan masyarakat.”

( Ucapan Mohammad Hatta bertajuk ‘Suatu Amanat’ dalam Pidato Radio, Tanggal 23 Januari 1946 )[1]

  1. Pengenalan.

Kedatangan Jepun boleh dikatakan suatu rahmat bagi Asia Tenggara yang masih dibelenggu dengan Imperialisme barat. Kebiasaannya, yang menjadi topik utama ialah kemerdekaan negara-negara baru selepas kekalahan Jepun. Merujuk kepada lokasi yang ingin dibincangkan menunjukkan Malaya memperolehi kemerdekaannya 12 tahun lebih lambat daripada negara jirannya iaitu Indonesia. Pastinya terdapat beberapa kemusykilan yang menyebabkan perkara ini boleh berlaku. Memetik kepada pidato Mohammad Hatta tadi, jelas menunjukkan tujuan yang jelas terhadap matlamat mereka ketika Jepun mula mendarat. Berbanding dengan Tanah Melayu atau lebih tepat lagi Malaya masih belum ada matlamat kemerdekaan yang tepat, jelas, dan menyeluruh. Terdapat hal yang lebih menarik, iaitu kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 hanya dilihat sebagai lekeh oleh pentadbir Indonesia. Maka, secara logiknya masih terdapat sesuatu yang menyebabkan perbezaan ketara ini.

Semasa Jepun mula mendarat di kedua-dua buah negara ini, mengalami latar yang berbeza. Jepun mula memasuki Malaya pada 8 Desember 1941 dan telah menerima tentangan hebat dari penjajah Inggeris manakala, hal di Indonesia nampaknya lebih tenang dengan tiada langsung penentangan malah telah dialu-alukan oleh penduduk tempatan.[2] Secara kronologinya, peristiwa ini menunjukkan sesuatu yang tersirat malah perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Kebanyakan sarjana telah mentafsirkan perkembangan politik yang ketara bagi Asia Tenggara selepas 1945.[3] Kemerdekaan yang dimiliki oleh Indonesia dan Malaya, jelasnya menerima pengaruh daripada pendudukan Jepun ini. Terdapat golongan belia yang telah terdidik dengan fahaman baru mengenai kebebasan dan memainkan peranan penting dalam politik tempatan.[4]

Kebanyakkan peristiwa kemerdekaan amat berkait dengan revolusi dan juga nasionalisme. Bagi kedua-dua wilayah ini telah mengalami cerobohan penjajah dari susur galur yang hampir sama. Belanda di Indonesia dan British di Malaya banyak dilihat sebagai pengeksploitasi ekonomi dan membebankan pribumi. Kedatangan Jepun dilihat sebagai pencetus kepada peluang generasi baru untuk melihat pentadbiran negara mereka dari kalangan mereka sendiri, maka secara tidak langsung peluang yang dibuka oleh pentadbiran tentera Jepun ketika itu telah mengubah struktur pemikiran terhadap penjajah dan berlarutan sehingga mereka memperolehi kemerdekaan.[5] Pengalaman dalam pentadbiran walaupun secara tipis semasa pemerintahan Jepun, sedikit sebanyak menambahkan keyakinan rakyat kedua-dua buah negara untuk bergerak ke arah kemerdekaan.[6] Justeru, penulisan kecil ini secara tuntasnya mahu mengenal pasti perbezaan serta persamaan terhadap kemerdekaan Malaya dan Indonesia kesan daripada pendudukan Jepun.

  1. Istilah Kemerdekaan.

Kemerdekaan merupakan suatu keadaan yang bebas dari belenggu penjajah. Istilah ini sering mendapat populariti kerana ianya mudah dan seakannya tepat kepada pandangan sejarah daripada kacamata kini. Meskipun begitu, ketika berlakunya peristiwa ini bagi kedua-dua buah negara seperti Indonesia dan Malaya banyak mengambil kira pelbagai faktor. Sememangnya kebebasan menjadi fokus utama pejuangnya namun, masih terdapat beberapa sebab lain yang lebih bersifat jangka panjang untuk negara mereka. Bagi kenyataan yang dibuat oleh Mohammad Hatta pada awal bicara tadi, jelasnya kemerdekaan juga mempunyai makna tertentu di sebalik istilah yang ringkas itu. Bagi kemerdekaan yang ingin dimiliki oleh Malaya pula, jelasnya banyak dipengaruhi oleh golongan ‘marhaen’ (Bawahan) yang terpengaruh oleh gerakan di Indonesia yang diperhatikan lebih mantap pengamatan politiknya terhadap misi pembebasan.

“Pejuang-pejuang kemerdekaan waktu itu telah terkumpul dalam dua kumpulan. Satu kumpulan yakin bahawa kemerdekaan hanya boleh dicapai menerusi revolusionary means sementara yang lain percaya dengan perlembagaan... Sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan 1957 itu”.

(Ucapan Tun Dr Ismail Abdul Rahman sewaktu menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari USM pada 9 Jun 1973)[7]

Bagi tulisan George McTurnan Kahin pula menjelaskan, kemerdekaan merupakan sesuatu kemuncak tindak balas terhadap penjajah dan pemahaman sebenar aktor politik tempatan berada pada tahap matang ketika pendudukan Jepun. Menurutnya lagi, pendudukan Jepun merupakan pengaruh yang paling besar terhadap kemerdekaan Indonesia.[8] Teori yang diketengahkan ini menunjukkan bahawa, kemerdekaan adalah suatu pelan yang harus berlaku secara kompleks dan perlu dilaksanakan oleh arkitek yang mempunyai visi yang jelas terhadap masa depan sesebuah negara. Bagi Malaya, kekangan daripada beberapa faktor dalaman telah menyebabkan kelewatan dalam usaha memiliki kemerdekaan berbanding Indonesia. Hal ini berlaku kerana, terdapatnya perbezaan ideologi politik dari golongan yang dikatakan kanan dan golongan kiri atau lebih tepat lagi golongan arus atas (Elit) dan golongan arus bawah (Marhaen).

Merujuk kepada ucapan tadi, apabila menyebut mengenai peranan terhadap kemerdekaan, kita sering terkeliru dengan peranan seorang tokoh dan juga peranan bersifat kolektif. Betulkah kemerdekaan hanya boleh diperolehi hasil peranan seorang tokoh sahaja ataupun peranan beberapa orang dan mungkin juga yang bersifat keseluruhan. Hal sebegini yang menjadikan kemerdekaan merupakan satu perkara yang unik bagi kedua-dua buah negara. Maka, si pelaku sejarah amat diperlukan bagi mengerakkan rentetan peristiwa kemerdekaan ini. Maklumat ini akan dijelaskan pada perbincangan seterusnya mengenai keadaan semasa pendudukan Jepun.

  1. Pendudukan Jepun di Indonesia

Kemaraan tentera Jepun semenjak 1942 juga melibatkan wilayah Indonesia. Pada awalnya kemaraan ini disifatkan oleh rakyat tempatan sebagai titik tolak perubahan daripada regim Belanda dan berpeluang untuk mendapatkan kemerdekaan. Sebahagian revolusioner yang terlibat, banyak mengatur pelbagai perancangan berbentuk talam dua muka bagi merealisasikan hasrat ini. Pengalaman pendudukan Jepun ini sebenarnya amat sukar sekali, di mana terdapat beberapa sumber yang mengatakan bahawa zaman ini merupakan satu keadaan yang amat menghimpit kehidupan mereka. Umumnya, responden masih mengingati sambutan hebat penduduk pribumi terhadap tentera Jepun kerana kebencian mereka yang meluap-luap terhadap Belanda.[9] Ramai juga yang masih ingat akan bendera Merah Putih yang berkibar bersebelahan hinomaru (Bendera Jepun) selama beberapa hari di Jakarta selepas Jepun berkuasa.[10]

Sejarah lisan banyak membantu menjelmakan peristiwa yang berlaku ketika zaman Jepun ini berlangsung. Memoir yang masih kekal dalam ingatan mereka, banyak mentafsirkan sesuatu yang bersifat sejarah untuk memberitahu kita senario sebenar dalam perjalanan ke arah kemerdekaan. Menurut responden lain, mereka masih teringat nasib malang mengenai peristiwa Romusha di pelabuhan Tanjung Periok. Kebanyakan rakyat telah menghadapi kebuluran sedangkan ketika itu, Jepun sedang berusaha mengangkut beras ke luar dari Jawa melalui pelabuhan yang sama. Maka, secara logiknya jelas sekali pendudukan Jepun ternyata sangat aib bagi mereka yang mendiami Jawa. Terdapat pengkaji Jepun yang melihat bahawa masih ada gambaran yang negatif berhubung mobilasi penduduk terhadap perancangan Jepun dari segi sosialnya.[11]

Satu lagi komen yang menarik adalah yang melibatkan ahli politik tempatan sendiri. Menurut Sutan Sjahrir, zaman Jepun merupakan zaman yang malang bagi Indonesia. Beliau juga merupakan antara aktor utama yang mengalu-alukan kedatangan pada awal 1942 yang dijangkakan boleh membawa perubahan lebih baik daripada Belanda. Meskipun Sutan dan rakan-rakannya seperti Sukarno dan Hatta terpaksa bekerjasama dengan Jepun tetapi mereka juga mempunyai maksud tersirat di sebalik kesemua hal yang melibatkan Jepun. Menurutnya lagi Jepun telah menghancurkan hubungan sosial dan menyebabkan keadaan menjadi lebih kucar-kacir. Malah Sutan langsung tidak memandang tinggi terhadap Jepun: “ People had expected them to be different, stronger and more clever than the Nedtherlandeers they had defeat. What people saw were barbarians who were often more stupid than they themselves.”[12]

Perkara yang paling jelas semasa pendudukan Jepun adalah dari segi ekonomi. Menurut Arifin Omar dalam kajiannya mengenai Sumatera Timur, menunjukkan peratus pengeluaran makanan semakin susut akibat sekatan dan juga penyelewengan dalam mengendalikan sumber makanan. Akibat tekanan dari kuasa lain Jepun terpaksa memikirkan cara lain bagi mengekalkan penguasaan optimum terhadap sumber ekonomi. Sehinggakan Gabenor Jepun iaitu Nakashima telah memerintahkan ramai orang di bandar pulang ke kampung bagi mengusahakan tanaman seperti ubi kayu dan jagung bagi makanan sendiri.[13] Anthony Reid mencatatkan bahawa tekanan-tekanan ekonomi pada masyarakat tani di Sumatera Timur sebenarnya tidak begitu ketara namun mereka terpaksa melakukan kerja-kerja lain seperti kerahan tenaga dalam membina sistem kereta api dan menyebabkan masalah makanan semakin meruncing.[14]

Merujuk kepada struktur sosialnya pula, Jepun juga telah mempergunakan agama sebagai alternatif terhadap propagandanya. Proses manipulasi agama merupakan tindakan yang amat menonjol. Menurut pendapat Harry Benda, golongan agama merupakan golongan yang menerima impak paling besar berbanding golongan nasionalis dan juga priyayi. Jepun mengambil berat hal ini disebabkan oleh pegangan pribumi yang kuat terhadap agama Islam. Prosedurnya amat mudah sahaja dengan menggunakan institusi masjid dan surau termasuk kelas agama berfungsi menyampaikan dakyah Jepun. Terdapat dalam kalangan mereka ini walaupun propaganda berlaku namun hasil dari tujuan ini telah banyak membuka mata mereka untuk bebas dari belenggu penjajah.

Salah satu sebab Jepun mempengaruhi institusi agama adalah berpunca daripada terdapatnya persekongkolan pihak tertentu bersama dengan Jepun. Perkara ini menjadikan sesuatu yang amat bertepatan dengan dasar agama yang ditetapkan di Jepun. Namun, secara perlaksanaannya di Asia Tenggara institusi agama nampaknya diperkudakan oleh Jepun. Meskipun begitu, berbanding dengan negara Asia Tenggara yang lain golongan agama di Indonesia bijak memanipulasikan semula Jepun bagi tujuan selain dari menyokong Jepun. Hal ini amat menarik kerana pemimpin islam seperti Wahid Hashim yang bertindak balas secara pasif terhadap dasar Jepun dengan jayanya. Beliau telah banyak menyusun semula ummah dari segi politik, pentadbiran, dan ketenteraan dengan mengambil kesempatan daripada peluang hasil tawaran Jepun ini. Tindakan sebegini nampaknya menguntungkan golongan ini dan secara tidak langsung memperkuatkan Islam itu sendiri. Walaupun begitu, bapa kepada bekas Presiden Gus Dur ini merupakan watak penting dalam penubuhan Shumuka (Jabatan Agama Islam). Jabatan ini mempunyai hubungan dengan Kiyai di serata Indonesia bagi melaksanakan padanan dengan Nahdatul Ulama. Justeru, secara keseluruhannya pendudukan Jepun selama hampir empat tahun ini banyak mempengaruhi struktur dalaman di Indonesia sehingga menampakkan jalan ke arah kemerdekaan yang lebih jelas. Seterusnya, perbincangan akan melihat pula pendudukan Jepun di Malaya.

  1. Pendudukan Jepun di Malaya

Laungan Asia Untuk Asia yang disuarakan oleh Jepun turut memberikan tempiasnya kepada Tanah Melayu atau lebih tepat lagi Malaya. Keinginan ini sedikit-sebanyak telah berjaya membuka mata imperialis Inggeris bahawa negara yang mereka jajah sedang berada dalam tranformasi politik. Pendaratan Jepun di pantai Kelantan pada 8 Desember 1941 terus mengubah senario selesa yang dimiliki oleh rakyat tempatan. Peperangan selama tiga tahun lapan bulan ini telah menunjukkan bahawa kuasa barat seperti Inggeris boleh dikalahkan oleh orang Asia, dan secara tidak langsung timbul kesedaran yang aktif untuk mencapai kemerdekaan seperti yang telah dijanjikan oleh Jepun.

Memoir pendudukan Jepun di Malaysia ini menampakkan suatu titik tolak yang merangkumi pelbagai sektor termasuk politik, sosial, dan ekonominya. Bahang keperitan turut dirasai oleh semua kaum yang mendiami wilayah Malaya ini. Kesan kekurangan sumber makanan dan kesihatan telah membawa kepada masalah sosial yang amat meruncing ketika zaman perang. Menurut kajian Paul Kratoska, beliau menyimpulkan kesemua kaum turut mendapat impak yang negatif terhadap kemaraan Jepun ini.[15] Namun secara relatifnya, jurang kesengsaraan yang dihadapi oleh kaum Cina dilihat lebih teruk dari yang lain. Terdapat juga sebilangan orang yang cuba bekerjasama dengan Jepun bagi mendapatkan manfaat yang baik. Secara umumnya tidak terdapat memori yang mengingati Jepun sebagai pembebas kecuali mereka yang telah mempunyai kesedaran politik dalam kalangan mereka.[16]

Di sebalik pendudukan Jepun, masih terdapat unsur-unsur positif dari segi politik. Menyebut mengenai KMM ( Kesatuan Melayu Muda) yang juga merupakan parti kiri Melayu sebelum perang telah membuka jalan kesedaran terhadap kemerdekaan. Persahabatan dengan Jepun dalam menentang Inggeris menyebabkan mereka dilabel pengkhianat oleh British. Jepun memberi sokongan kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaacob. Jepun juga telah menubuhkan Pasukan Tentera Sukarela (PETA) atau Pembela Tanah Air yang lebih dikenali sebagai ‘Giyu Gun’ di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Selepas menduduki Tanah Melayu, Jepun membebaskan nasionalis-nasionalis yang dipenjarakan oleh British seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, dan Ahmad Boestamam. Pembebasan telah membolehkan perjuangan nasionalisme diteruskan. Misi mereka, kemerdekaan politik adalah satu kepentingan kerana melalui kemerdekaan segala masalah bangsa Melayu dapat diselesaikan dengan berkesan. Mereka berpendapat demikian kerana, Inggeris masih belum mempunyai rancangan politik untuk Tanah Melayu. Maka, kedatangan Jepun dilihat sebagai jalan bagi kerjasama terhadap misi pembebasan.

Pelbagai perubahan yang telah dibuat oleh Jepun dari segi pentadbiran tentera di Tanah Melayu. Jepun menyusun semula pentadbiran dengan meletakkan Tanah Melayu di bawah pentadbiran tentera yang dikenali sebagai Malaya Military Administration (MMA) sesuai dengan keadaan peperangan ketika itu. Matlamat utama MMA ialah, untuk memulihkan ketertiban awam, mengeksploitasikan sumber-sumber penting untuk menampung ekonomi perang, dan menjamin bekalan yang cukup bagi keperluan tenteranya di Tanah Melayu. Dalam menjalankan pentadbiran, MMA dibantu oleh Polis Rahsia Jepun dan Badan Perisikan Jepun yang dikenali sebagai Kempeitai Tekkikan dan Toko. Negeri-negeri Selat (NNS) ditadbir secara langsung oleh Jepun manakala sistem kerajaan di negeri-negeri lain diteruskan dan diletakkan di bawah kawalan langsung seorang Gabenor Jepun. Majlis Mesyuarat Negeri ditukarkan menjadi Majlis Penasihat. Majoriti ahlinya adalah orang Jepun dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kuasa sebenar berada di tangan Jepun. Untuk mendapat sokongan orang Melayu, Jepun mengekalkan institusi Sultan sebagai pentadbir bersama-sama dengan pihak Jepun

Menurut Mustapha Hussain, beliau menyifatkan kerjasama dengan Jepun bertujuan untuk membebaskan dan menolong orang Melayu. Menurut beliau lagi, strategi terpaksa berbaik- baik dengan Jepun adalah supaya segala usaha dan pertolongannya kepada orang Melayu tidak disedari oleh Jepun.[17] Secara tidak langsung pendudukan Jepun telah meninggalkan sedikit kesan positif terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu seterusnya mengorak langkah kearah kemerdekaan.

  1. Kemerdekaan Indonesia

Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 sejurus selepas tunduknya Jepun terhadap kuasa berikat pada 15 Ogos 1945. Kekalahan Jepun ini sebenarnya meninggalkan kenangan manis bagi rakyat Indonesia kerana selepas tarikh itu negara mereka sudah berjaya dibebaskan. Menurut Mohammad Hatta, semasa Proklamasi Kemerdekaan Indonesia telah menjelaskan bahawa bangsa Indonesia sudah merdeka, bernegara dan berdaulat.[18] Apabila menyebut tentang kemerdekaan sejarah Indonesia tidak dapat lari daripada kebangkitan kebangsaannya. Watak Bung Karno, Bung Hatta[19] dan pengikutnya percaya bahawa persubahatan dengan Jepun memberikan pulangan yang lumayan selepas dijanjikan kemerdekaan yang penuh. Golongan nasionalis ini percaya dengan bantuan Jepun maka proses memerdekakan Indonesia lebih cepat dan kekalahan Jepun selepas itu merupakan suatu rahmat yang kena pada waktunya.[20]

Kes Sukarno yang dianggap sebagai hero kebangsaan Indonesia merupakan suatu kes persekongkolan yang berjaya dalam kalangan nasionalis tempatan lain.[21] Pelbagai tafsiran dari segi kritikan dan sokongan telah dilemparkan kepada beliau, meskipun begitu kemerdekaan hasil usahanya itu jelas sekali menguntungkan. Profesor John Legge pula menyebut bahawa Sukarno adalah seorang patriot.[22] Sukarno telah mempergunakan jalan bekerjasama dengan Jepun bagi mengambil kesempatan di atas peluang yang ada, bagi merealisasikan misi jangka panjangnya terhadap kemerdekaan Indonesia. Sukarno tidak banyak menghadapi masalah semasa dengan Jepun kerana mereka memberikan ruang yang luas kepadanya untuk bergerak.[23] Taktik berkerjasama dengan Jepun adalah suatu alternatif kepada perjuangan asalnya terhadap kemerdekaan seluruh Indonesia. Maka pendapat Legge mengatakan bahawa, Sukarno telah mengambil peluang dan kesempatan dengan sebaik mungkin terhadap misinya. Taktik yang serupa banyak digunakan oleh nasionalis lain umpanyanya di Tanah Melayu namun menemui kegagalan.

Kemerdekaan yang diperolehi oleh Indonesia tenyata lebih awal berbanding Malaya. Jarak dua belas tahun ini sebenarnya memberikan tafsiran yang amat rencam sekali. Senario pendudukan Jepun sebenarnya berada dalam jangka masa yang sama bagi kedua-dua buah negara. Tetapi, mengapa Malaya jauh ketinggalan dalam meraih kemerdekaan. 1957 merupakan tahun keramat bagi Malaysia namun mengapakah peristiwa sebegini boleh berlaku. Kemerdekaan Indonesia jelasnya hasil daripada tangan nasionalis tulen, tetapi bagi Malaya terdapat kecelaruan dalam proses kemerdekaan dengan kembalinya Inggeris. Perbincangan selepas ini pula meninjau mengapakah Malaya menerima kemerdekaanya lebih lewat daripada Indonesia.

  1. Kemerdekaan Malaya

Kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi daripada rundingan dengan penjajah Inggeris. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 pastinya menyembunyikan sesuatu yang boleh dirungkai berdasarkan sumber sejarah. Istilah merdeka telah mula digunakan oleh PKMM bagi menonjolkan matlamatnya. Golongan Nasionalis PKMM telah meneruskan kesinambungan yang telah diperjuangkan oleh KMM sebelumnya.[24] Sekiranya merujuk kepada matlamat asal penubuhan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) adalah mahukan kemerdekaan.[25] Apabila memperlihatkan tiada jalan diplomatik lain yang boleh menggerakkan tujuan itu maka, suara lantang yang diutarakan sering mengancam pihak kolonial. Mereka tidak dapat membayangkan bahawa dalam kalangan rakyat sudah ada yang mahu memimpin negara mereka sendiri. Apabila menyebut tentang API (Angkatan Pemuda Insaf) dan juga AWAS (Angkatan Wanita Sedar), peranan mereka ini hanya dianggap sebagai cakap-cakap kosong yang sebenarnya amat mampu menggugat kestabilan politik Kerajaan Kolonial.[26] Setelah dibandingkan dengan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), pertubuhan lain ini amat tidak memberi keselesaan kepada mereka. Maka UMNO yang terdiri dalam kalangan pemimpin arus atas diberikan autoriti terhadap kuasa eksekutif dalam mentadbir negara. Namun matlamat mereka untuk merdeka masih belum wujud ketika Darurat ini diisytiharkan.

Hubung kait daripada peristiwa sebelumnya banyak memberikan implikasi terhadap gaya berfikir golongan politik ketika itu. Kesan daripada pendudukan Jepun telah banyak menukar persepsi dalam kalangan pemimpin tempatan tentang bahayanya duduk dibawah penjajah. Kesedaran yang dibawa oleh Jepun ini sedikit sebanyak membuka ruang fikiran ahli politik tempatan untuk berkecimpung dengan lebih aktif terhadap misi kemerdekaan. Terdapat dua arus yang mahukan tujuan mereka berjaya. Namun, atas kepentingan tertentu pengisytiharan Darurat ini boleh dikatakan suatu norma bagi melambatkan kemerdekaan. Hal mengenai Darurat ini diisytiharkan bagi menghalalkan perjuangan UMNO yang bersifat serampang dua mata. Mengapa kita berhujah sedemikian, apabila Darurat diisytiharkan terdapat banyak dalam kalangan pemimpin pertubuhan politik arus bawah diberkas kerana dianggap sebagai pemberontak yang bersekutu dengan PKM. Hal ini dihebahkan sebagai suatu ancaman kepada negara, namun rakyat juga pada ketika itu amat matang untuk berfikir yang mana lebih mempunyai kebenaran.

Satu lagi yang mencetuskan kebimbangan ialah dari golongan yang berpendidikan Islam. Mereka ini mempunyai maksud politik yang berteraskan Islam yang sebenar. Perhimpunan rakyat di Gunung Semanggol ini dilihat sebagai ancaman kepada kerajaan kolonial juga terhadap kepimpinan UMNO sendiri.[27] Semenjak tertubuhnya Hizbul Muslimin hasil daripada perhimpunan yang banyak dibuat tadi menggambarkan sesuatu anjakan baru dalam politik tempatan yang mempertikaikan kuasa pemerintah, malah kuasa Sultan Melayu dalam hal ehwal agama turut disangkal.[28] Bukankah hal ini menunjukkan bahawa terdapatnya suatu pemikiran baru yang bertujuan untuk memberikan manfaat kepada rakyat. Memetik ungkapan Dato Onn, Malaya ketika itu bukan sahaja menerima asakan daripada gerila di hutan malah sekarang telah ada bahaya yang datang dari golongan cendekiawan Islam.[29] Justeru faktor yang mengatakan Darurat hanya merujuk kepada keganasan PKM adalah tidak tepat. Terdapat unsur-unsur lain yang bersifat politik rakyat bawahan yang mahukan keadaan stabil dengan segera.

Hizbul Muslimin yang berorientasikan Islam amat menekankan konsep Islam yang syumul dan matlamat akhirnya ingin menubuhkan Darul Islam. Selepas tiga bulan penubuhan Parti Orang Islam ini, jelasnya Darurat telah diisytiharkan kononnya bagi mengekang segala pembabitan PKM namun, ianya masih dilihat bertopengkan kepada menghapuskan segala pergerakan rakyat terhadap kemerdekaan. Seperti mana tadi, jelasnya PKM telah ada lebih awal lagi, mengapakah ianya tidak dianggap sebagai pengganas semasa mula ditubuhkan. Nampaknya kerajaan British ketika Jepun dahulu mengamalkan konsep suai faedah ke arah menentang Jepun. Apabila Jepun kalah nampaknya kepentingan mereka masih wujud di Tanah Melayu ini. Maka, konklusi yang paling sesuai adalah sasaran Darurat tertumpu sebenarnya kepada pertubuhan politik yang berkonsepkan kemerdekaan. Manakala bagi kes Hizbul Muslimin ini dapat ditakrifkan sebagai kemuncak kepada usaha ini atas dasar kepentingan.

Peralihan persepsi masyarakat Melayu khasnya, dapat dialih daripada memikirkan ke arah kemerdekaan dengan tujuan memerangi komunis. Undang-undang Darurat yang diguna pakai jelas menunjukkan kepada istilah mengekang keadaan yang radikal ini.[30] Susur galur ini menunjukkan bahawa, kerajaan kolonial masih berhasrat untuk mengekalkan kepentingannya dalam jangka masa panjang malah bertujuan melewatkan tempoh untuk Tanah Melayu merdeka.

Menyebut mengenai hal Perlembagaan Rakyat 1947 turut mempunyai kaitan terhadap peristiwa Darurat. Selepas Jepun kebanyakkan rakyat telah faham erti perpaduan dan tujuan ini adalah matlamat utama membasmi perbezaan. Konsep ini telah menunjukkan bahawa rakyat Tanah Melayu telah lebih awal duduk semeja membincangkan masa depan mereka. Kisah lama yang biasa didengari adalah, mengatakan UMNO yang bertanggungjawab terhadap penyatuan ini. Sebenarnya boleh dikatakan bahawa sejarah kita hanya menumpu kepada sejarah bagi orang-orang yang menang sahaja. Gagasan ini bersifat revolusi dan mahu kepimpinan sendiri malah turut mengiktiraf kedudukan istimewa Orang Melayu. Pengenalan 10 prinsipnya jelas mempunyai unsur kearah sebuah negara yang merdeka. Namun bagi golongan politik arus atas berserta Kerajaan British menganggap mereka ini sebagai pelampau, jadi persekongkolan UMNO dan British nampaknya lebih bermanfaat.

Jelasnya proses kemerdekaan Malaysia amat dekat sekali dengan wujudnya watak Inggeris yang memanipulasikan peristiwa Darurat dalam memperlambatkan kemerdekaan. Sifat licik ini ternyata berbeza dengan alternatif yang diambil oleh nasionalis Indonesia dalam mencapai kemerdekaan. Perbezaan yang ketara ini wujud disebabkan pelbagai faktor antaranya sikap pemimpin di sesebuah negara itu, malah penerimaan rakyat terhadap sesuatu dasar negara juga memainkan peranan terhadap kemerdekaan.

  1. Analisis

Kesinambungan daripada pendudukan Jepun memberikan impak positif terhadap kemerdekaan negara di Asia Tenggara.[31] Sekiranya Jepun tidak melancarkan perang di Asia Tenggara pada ketika itu mana mungkin negara seperti Malaysia dan Indonesia boleh mencapai kemerdekaan. Perbincangan ini cuba menonjolkan peranan golongan tertentu terhadap perjuangan mereka kearah kemerdekaan. Meskipun tarikh kemerdekaan berbeza, namun asal-usul serta benih terhadap kemerdekaan dilihat semakin matang ketika pendudukan jepun.

Perkara yang lebih menarik adalah merujuk kepada sudut pandang penjajah itu sendiri. Inggeris di Tanah Melau dan Belanda di Indonesia sering menggambarkan bahawa gerakan ke arah kemerdekaan adalah suatu pemberontakan. Istilah ini dipergunakan bagi melindungi kepentingan ekonomi mereka yang telah lama mereka kaut. Namun, kehadiran Jepun telah menunjukkan jalan keluar kepada kolonialis ini bahawa, rupa diri masyarakat tempatan seharusnya berhak memerintah negara mereka sendiri. Cuma bezanya, pengaruh serta proses kemerdekaan itu berjalan secara tidak seiring bagi kedua-dua buah negara. Apabila kita mengaitkan dengan keadaan selepas merdeka, ternyata kedua-dua buah negara serantau ini mempunyai pandangan politik yang berbeza. Meskipun berada dalam rumpun yang sama, jelasnya hasil tangan penjajah amat mempengaruhi ideologi politik mereka serta model pentadbiran yang lebih ke arah pemerintahan sendiri.

Persoalan yang ingin di utarakan ternyata membawa kepada perbezaan yang ketara dalam susur galur kemerdekaan bagi kedua-dua buah negara. Berdasarkan sudut pandang tempatan pula, kemerdekaan yang mereka perolehi adalah hasil daripada usaha mereka. Bagi Indonesia, kemerdekaan mereka berdiri secara sendiri hasil daripada strategi persekongkolan yang berkesan. Merujuk kepada Malaysia pula masalah dalaman merupakan faktor bagi kelewatan ini. Walaupun begitu Indonesia dan Malaysia masih lagi merdeka menerusi acuan masing-masing. Justeru perbincangan ini ingin menunjukkan sesuatu yang boleh dipelajari oleh generasi kini.

  1. Kesimpulan

Secara keseluruhanya, kemerdekaan yang diperolehi bagi kedua-dua buah negara mempunyai kronologinya yang tersendiri. Perkara yang membezakannya adalah, tempoh masa dan juga cara mana mereka memperolehi kemerdekaan itu. Meskipun begitu, bibit-bibit ke arah kemerdekaan jelasnya mempunyai pengaruh yang kuat kesan daripada pendudukan Jepun. Kesan-kesan ini boleh dilihat merangkumi aspek politik, ekonomi, dan sosial. Pengaruh ini juga tidak dapat lari daripada matlamat asal kemaraan Jepun kerana tujuan mereka jelas demi kemakmuran bersama di Asia. Namun, hal yang membezakan peristiwa ini adalah bagaimana matlamat ini dilaksanakan dikawasan yang diduduki oleh tentera mereka.

Setelah kupasan dibuat, tempoh masa semasa Jepun merupakan keadaan yang matang bagi golongan nasionalis untuk bergerak. Kebanyakkan mereka telah memahami makna politik yang sebenar. Hasil tunjuk ajar dari sistem penjepunan ini telah membuka ruang secara lebih terbuka dalam menyampaikan ideologi mereka kepada rakyat. Soalnya hanya penerimaan serta kefahaman dalam kalangan rakyat terhadap misi mereka ini. Indonesia nampaknya mempunyai tujuan yang jelas dan majoriti rakyatnya faham erti kemerdekaan yang ingin mereka kecapi. Berbanding dengan Malaya terdapat beberapa kekangan dari golongan tertentu bagi memperlambatkan tarikh kemerdekaan atas tujuan tertentu. Meskipun begitu kemerdekaan yang mereka perolehi jelasnya telah membawa negara ke arah satu dunia yang baru dalam kepimpinan dibumi sendiri dan diperintah olah mereka sendiri.

Perkara pokok yang diutamakan dalam penulisan ini adalah bertujuan, melihat sejauhmanakah pendudukan Jepun mempengaruhi keadaan di kedua-dua buah negara dalam mencapai misi kemerdekaan. Terdapat perbezaan yang mewarnai susur-galur ke arah kemerdekaan namun, misi ke arah kemerdekaan nampaknya seiring dengan adanya hubungan dalam strategi dan juga taktik membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Justeru, kemerdekaan yang diperoleh nampaknya mempunyai pengaruh yang kuat daripada pendudukan Jepun 1942-1945. Tempoh masa yang singkat ini telah mengubah keadaan di Malaysia dan Indonesia, malah bahagian Asia Tenggara lain juga turut menerima tempias yang sama. Meskipun terdapat beberapa kesulitan yang terjadi sepanjang pendudukan Jepun namun, harga yang mereka bayar mendapat pulangan yang besar selepas mengecapi kemerdekaan. Justeru kemerdekaan yang diperolehi seharusnya dihargai dengan lebih bernilai agar peristiwa sedemikian tidak berulang lagi. Maka, peranan pelbagai pihak seharusnya dimainkan bagi mengekalkan apa yang mereka perolehi sekarang.

  1. Bibliografi

Abdul Rahman Haji Ismail, (Ed.). 2005. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Haji Ismail, Nazarudin Zainun dan Azmi Arifin. (ed.). 2006. Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Abu Talib Ahmad. 2007. Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara [Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor ]. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Abu Talib Ahmad. 1997. Zaman Jepun, 1942-45: Krisis sosial masyarakat Melayu dan kelesuan agama. Jurnal Ilmu Kemanusiaan 4.

Aishah Ghani. 1992. Memoir Seorang Pejuang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ariffin Omar. 1999. Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Arsip Nasional Republik Indonesia. 1988. Di Bawah Pendudukan Jepang: Kenangan Empat Puluh Dua Orang Yang mengalaminya. Jakarta: Arsip Nasional Indonesia, Penerbit Sejarah Lisan No. 4.

Benda, Harry dan John Bastin. 1968. A History of Modern Southeast Asia. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

Elsbree, W.H.1970. Japan’s Role In Southeast Asian Nationalist Movements 1940 to 1945. New York: Russell Publisher.

Insun Sony Mustapha. 1999. Memoir Mustapha Hussain: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kahin,George McTurnan. 1970. Nationalism and Revolution in Indonesia. Ithaca and London: Cornell University Press.

Kratoska, Paul H. 1998. The Japanese Occupation of Malaya, 1941-45: A Social and Economic History. London: Hurst & Co.

Legge, John D. 2003. Sukarno: A Political Biography. Singapore: Archipelago Press.

McCoy, Alfred (Ed.). 1985 Southeast Asia Under Japanese Occupation. New Haven: Yale University, Southeast Asian Studies Monograph No. 22.

Mohammad Hatta. 1979. Memoir Mohammad Hatta. Jakarta: Penerbit Tintamas Indonesia.

Munir Ali. 1982. Sukarno: Siri Perjuangan Negara Moden. Petaling Jaya: Uni Text Distributors.

Nabir Abdullah. 1976., Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959. Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah UKM.

Purwadi. 2004. Sejarah Perjuangan Presiden Soekarno. Yogyakarta: Buana Pustaka.

Radin Soenarno. 1960. “Malay Nationalism, 1900-1945”, Journal of Southeast Asian History 1, March 1960.

Reid, Anthony. 1969. Blood of the People: Revolution and the End of Traditional Rule in Northern Sumatra. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Sato Shigeru. 1944. War Nationalism and Peasant: Java Under Japan Occupation, 1942-45. St Leonards: Allen & Unwin.

Soetan Sjahrir. 1969. Out of Exiles. New York: Greenwood Press.

Wangsa Widjaja. 1981. Kumpulan Pidato Mohammad Hatta dari tahun 1942-1949. Jakarta: Yayasan Idayu.



[1] Lihat Wangsa Widjaja, Kumpulan Pidato Mohammad Hatta dari tahun 1942-1949 (Jakarta: Yayasan Idayu, 1981), hlm. 76.

[2] Ariffin Omar, Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu (Pulau Pinang: Penerbit USM, 1999), hlm. 43-55.

[3] Alfred McCoy (Peny.), Southeast Asia Under Japanese Occupation (New Haven: Yale University, Southeast Asian Studies Monograph No. 22, 1985).

[4] Harry Benda dan John Bastin, A History of Modern Southeast Asia (Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall, 1968), hlm. 123-152.

[5] Willard H. Elsbree, Japan’s Role In Southeast Asian Nationalist Movements 1940 to 1945 (New York: Russell Publisher, 1970), hlm. 15.

[6] Abdul Rahman Haji Ismail, “Revolusi di Malaysia: Cerakinan Sejarah”, dalam Nasionalisme dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia: Pengamatan Sejarah. Di sunting oleh Abdul Rahman Haji Ismail, Nazarudin Zainun dan Azmi Arifin. (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2006), hlm. 92.

[7] Aishah Ghani, Memoir Seorang Pejuang (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992), hlm. 173.

[8] George McTurnan Kahin, Nationalism and Revolution in Indonesia (Ithaca and London: Cornell University Press, 1970), hlm. 173.

[9] Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara [Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor] (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2007), hlm. 29.

[10] Ibid., hlm. 30. Lihat juga Arsip Nasional Republik Indonesia, Di Bawah Pendudukan Jepang: Kenangan Empat Puluh Dua Orang Yang mengalaminya (Jakarta: Arsip Nasional Indonesia, Penerbit Sejarah Lisan No. 4, 1988).

[11] Ibid. Lihat juga Sato Shigeru, War, Nationalim and Peasant: Java Under Japan Occupation, 1942-45 (St Leonards: Allen & Unwin, 1994).

[12] Soetan Sjahrir, Out of Exiles (New York: Greenwood Press, 1969), hlm. 248.

[13] Ariffin Omar, Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu, hlm. 52.

[14] Anthony Reid, Blood of The People: Revolution and the End of Traditional Rule in Northern Sumatra (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1969), hlm. 218.

[15] Paul H. Kratoska, The Japanese Occupation of Malaya, 1941-45: A Social and Economic History (London: Hurst & Co, 1998).

[16] Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara, hlm. 32.

[17] Insun Sony Mustapha, Memoir Mustapha Hussain: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum UMNO (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999), hlm. 319.

[18] Mohammad Hatta, Memoir Mohammad Hatta (Jakarta: Penerbit Tintamas Indonesia, 1979), hlm. 425.

[19] Di Indonesia mereka ini merupakan kategori pahlawan nasional seperti Sukarno, Hatta, Sjahrir, Ki Hadjar Dewantara, M. H. Thamrin dan sebagainya (ada 30 orang semuanya).

[20] Purwadi, Sejarah Perjuangan Presiden Soekarno (Yogyakarta: Buana Pustaka, 2004), hlm. 139-157.

[21] George McTurnan Kahin, Nationalism and Revolution in Indonesia, hlm. 126.

[22] John D. Legge, Sukarno: A Political Biography (Singapore: Archipelago Press, 2003)

[23] Munir Ali, Sukarno: Siri Perjuangan Negara Moden (Petaling Jaya: Uni Text Distributors, 1982)

[24] Radin Soenarno, “Malay Nationalism, 1900-1945,” Journal of Southeast Asian History 1, March 1960, hlm. 1-28.

[25] Abdul Rahman Haji Ismail dll., Nasionalisme di Malaysia dan Indonesia, Pengamatan Sejarah, hlm. 86.

[26] Ibid.

[27] Nabir Abdullah, Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959, Kuala Lumpur, Jabatan Sejarah UKM, 1976, hlm. 168.

[28] Ibid.

[29] Utusan Melayu, 26 April 1948, seperti yang dipetik dalam Nabir Abdullah, , Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959, hlm. 188.

[30] Abdul Rahman Haji Ismail, penyt., Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005), hlm. 243.

[31] Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara, hlm. 119.

1 comment:

  1. Terima kasih..ilmu yang bermanfaat utk dikongsikan...sudilah berkunjung ke blog kami.. >>> http://ppismpsejarahgstt.blogspot.com/

    ReplyDelete