Sunday, October 4, 2009

sosioekonomi kolonial di malaya

1. Pengenalan
Episod sejarah sosio-ekonomi Malaysia sering dikaitkan dengan pengalamannya dalam era penjajahan khususnya semasa dalam cengkaman Inggeris. Senario yang mewarnai susur galur sejarahnya menunjukkan ada perubahan yang secara tidak langsung mencerminkan ekonomi negara yang ada pada masa kini. Perdebatan dalam kalangan sejarawan banyak membuktikan bahawa struktur ekonomi ketika itu banyak dipengaruhi oleh unsur dari barat yakni British. Bermula ketika Penjanjian Pangkor 1874, golongan kulit putih ini telah berusaha mengaut sebanyak mungkin hasil perut bumi Tanah Melayu. Aktiviti ini berterusan sehingga kepada Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. Namun demikian fokus yang diutarakan dalam penulisan ini hanya merangkumi tempoh masa zaman kolonial sehingga bermulanya pendudukan Jepun. Hasil penulisan ini juga bertujuan melihat perubahan yang berlaku dalam sosio-ekonomi di Malaysia Barat dan Malaysia Timur berdasarkan kepada isu dan komoditi yang tertentu. Selain itu juga perbandingan juga turut disentuh bagi mentafsirkan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi kedua-dua bahagian Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

2. Latar belakang keadaan awal zaman kolonial
Pada asalnya terdapat pelbagai reaksi yang menyebabkan masyarakat Tanah Melayu mengalami kejutan awal dalam sejarah ekonominya. Kebanyakkan pembaharuan yang dibawa hanya bertujuan kepada keuntungan semata-mata serta kos yang paling minima. Zaman kolonialisme adalah zaman berlakunya eksploitasi kekayaan, penindasan bagi golongan yang terjajah dan konsep kebebasannya adalah dalam konteks pada orang putih atau 'white man' sahaja. Pengeksploitasian yang berlaku hanya menguntungkan pihak kolonial manakala bagi masyarakat setempat pula, ia terus di takuk lama malah kekuasaan orang-orang tempatan makin kurang dan seterusnya akan terhapus. Pengenalan satu sistem ekonomi baru seperti sistem ekonomi kapitalis terus 'mencerut' masyarakat tempatan kerana mereka kekurangan dari pelbagai segi seperti kekurangan modal. Oleh itu, golongan seperti pelabur-pelabur Barat serta Cina berkuasa dalam mengaut hasil kekayaan bumi Melayu manakala orang-orang Melayu masih dengan ekonomi tradisionalnya seperti mengeluarkan tanaman makanan seperti padi dan ini secara tidak langsung telah memundurkan serta menjauhkan lagi orang Melayu dari arus pembangunan yang makin rancak berjalan pada masa itu. Orang Melayu terus terperangkap dalam 'kapsul masa' serta terpinggir manakala pihak kolonial serta kaum lain terus menikmati kekayaan yang diperolehinya.

3. Perkembangan awal Sosio-Ekonomi Zaman Kolonial
Pengaturan semula struktur sosial oleh kerajaan ketika itu telah banyak merubah keadaan semasa. Matlamat kemajuan ekonomi dilihat meliputi skop yang lebih besar. Pengunaan istilah British Malaya menunjukkan bahawa Malaya telah menjadi British dalam menjelaskan matlamat sosial dan ekonominya. Merujuk kepada Malaysia Barat pihak British telah melakukan pelbagai pembangunan sosio-ekonomi seperti pembentukan infrastruktur, khasnya sistem perhubungan. Melihat kepada konteks ini pelbagai kemudahan termasuk jalan raya, telegraf, dermaga dan keretapi telah di bina bagi memudahkan aliran perdagangan. Pekara yang perlu dipastikan bahawa kesemua ini hanya dilakukan atas kepentingan ekonomi sahaja. Berbanding dengan Malaysia Timur kadar pembangunan ekonominya sedikit terlambat dalam tempoh masa yang sama. Di Borneo utara contohnya, pemerintah masih lagi merupakan sebuah syarikat. Syarikat Berpiagam Borneo Utara yang dimaksudkan ini hanya berfungsi sebagai pengaut keuntungan. Walaupun terdapat juga perkembangan infrastruktur namun ianya masih memfokus kepada keuntungan. Antara tahun 1911 dan 1931 kemasukan buruh asing khususnya India dan Cina secara efektif sedikit sebanyak mempengaruhi struktur sosial Tanah Melayu ketika itu. Kemasukan ini telah digalakkan oleh pihak kolonial bagi tujuan mengerakkan intensif buruh dikawasan sumber ekonomi contohnya lombong dan estet yang akan dilihat kemudian.

4. Aktiviti Perlombongan Timah
Jelasnya aktiviti ini menunjukkan suatu komoditi yang sangat penting malah merupakkan pengerak awal ekonomi khususnya di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada peringkat awal sememangnya hasil bumi ini kurang mendapat perhatian menyeluruh, namun demikian setelah wujudnya pasaran yang memberangsangkan ianya menjadi lebih agresif untuk di korek. Perkembangan bijih timah dilakukan secara besar-besaran ialah berlaku pada akhir abad ke-19. Petemuan tapak baru sering membuatkan ramai pihak mencebur diri dalam aktiviti ini khususnya orang Cina. Perusahaan ini dilakukan oleh usahawan Cina Selat dan ada juga antara mereka mendapat sokongan modal dari saudagar Eropah.
Faktor kemasukan modal Eropah secara pukal berlaku hanya selepas pengenalan kapal korek pada tahun 1912. Penggunaan teknologi ini telah berjaya meluaskan operasi lombong kerana kemampuannya mengorek dengan lebih dalam lagi malah setiap output yang dikeluarka mampu menghasilkan keuntungan yang besar berdasarkan pasaran. Melihatkan kepada modal yang besar, pengurusan yang sistematik amat diperlukan bagi melicinkan operasi. Bagi tujuan tersebut secara tidak langsung mengakibatkan kesannya kepada struktur sosial yang mana terdapat kelas dalam birokrasi pengeluaran hasil. Permintaan yang tinggi daripada hasil bijih ini telah mendesak pihak kolonial untuk memenuhi kehendak pelabur dengan mengesyorkan kawasan yang lebih luas di Negeri Melayu Bersekutu seperti Perak, Selangor, dan Pahang. Proses penyediaan ini melibatkan hal mengukur tanah, mengumpul maklumat mengenai kawasan lombong serta menyelia setiap kawasan yang diteroka. Usaha ini dilakukan ini menjamin kawasan pemajakkan yang tepat serta menghasilkan untung yang lebih maksimum.
Pada awal kurun ke-20 pemintaannya meningkat disebabkan oleh industri mengetin yang berlaku di Eropah. Menurut penjelasan Andaya, Amerika merupakan pasaran bijih timah yang utama, namun sejah 1920 pemintaannya hanya berkisar pada aras 2540 tan setahun disebabkan penjimatan dan pengunaan timah yang lebih efektif. Meskipun mencapai zaman gemilangnya industri timah juga mengalami kemerosotan sekitar tahun 1930an disebabkan masalah harganya yang tidak seimbang.

5. Industri Getah
Penglibatan Tanah Melayu dengan tanaman ini bermula dengan hadirnya biji benih pokok yang mampu mengeluarkan cecair getah yang di pungut dari Brazil ( Hevea brasiliensis ). Penanaman awal getah dilihat tidak begitu teratur kerana kurang penyelidikan malah pasarannya yang belum diketahui keuntungannya. Senario yang sama berlaku di Borneo utara pada asalnya syarikat tidak begitu yakin namun melihatkan kepesatan yang berlaku d Tanah Melayu maka penanamannya telah diperbesarkan. Justeru getah merupakan komoditi yang berjaya ditanam di kedua-dua belah bahagian Malaysia ketika itu.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan getah di Malaysia khususnya pada zaman penjajahan. Tenaga buruh yang banyak dan murah membantu dalam pengeluran komoditi ini. Buruh India Selatan telah dibawa masuk untuk bekerja di estet menggunakan Sistem Kontrak. Seterusnya modal seperti tanah amat diperlukan dalam hal sedemikian kerana rantau Malaysia amat sesuai bagi tanaman getah jenis ini. Maka di sebabkan faktor modal tanah ianya telah berjaya membuka mata pelabur asing dalam memcebur diri dalam penanaman getah.
Kemerosotan pengeluaran bijih telah digantikan dengan penanaman pohon getah. Secara amnya getah telah ditanam secara rasmi pada tahun 1896 berikutan perkembangan pembuatan tayar oleh Goodyear serta peningkatan pengeluaran kereta yang sangat memerlukan bahan ini bagi tujuan tersebut. Peningkatan dalam jumlah pengeluaran meningkat setiap tahun ( sila rujuk Lampiran 1). Selain kemerosotan bijih kemerosotan harga kopi turut menyumbang kepada peralihan terhadap tanaman getah. Pada tahun 1897 satu peraturan tanah khas telah di perkenalkan di NMB untuk menggalakkan tanaman getah. Berdasarkan galakan ini pelbagai langkah telah diambil bagi menarik minat penguasaha contohnya dengan mengenakan cukai yang rendah iaitu sebanyak 10 sen setiap ekar untuk sepuluh tahun pertama dan duti rendah hanya 2.5% bagi 15 tahun pertama. Perkembangan getah ini secara amnya telah di bawa oleh seorang Inggeris iaitu H.N. Ridley. Beliau sangat berminat dan bersungguh-sungguh mengalakkn penanaman getah secara komersil bagi mengaut keuntungan seterusnya meningkatkan ekonomi domestik. Harga getah dilihat semakin meningkat setiap tahun berdasarkan pasarannya (sila rujuk Lampiran 2). Hasil ketekunan Ridley dalam usaha ujikajinya yang berterusan maka telah berjaya mengembangkan tanaman getah ini.
Seperti yang dikatakan tadi meledaknya harga getah belaku dalam tahun 1905 dengan berkembangnya industri kereta. Senario ini telah menyebabkan lebih banyak kawasan yang dibuka untuk penanaman getah dengan lebih menyeluruh. Menjelang 1908, getah telah ditanam hampir keseluruhan Tanah Melayu berjumlah kira-kira 190000 hektar. Jumlah ini merupakan lebih banyak daripada tanaman lain. Pengulangan peningkatan harga getah sekali lagi berlaku pada 1909 dan 1912 telah menyebabkan beberapa syarikat eropah seperti Guthries dan Harrisons & Crosfield menambah pelaburan dan membuka lebih banyak tanah bagi tujuan ini. Harga yang semakin meningkat menyebabkan penambahan kos dalam membuat selingan dengan tanaman lain supaya pengeluaran dapat dimaksimakan. Terdapat juga pekebun kecil Melayu dan Cina berusaha untuk menanam namun pihak kerajaan kurang mengambil perhatian kepada mereka. Hasilnya keluasan tanah yang ditanam dengan getah telah menunjukkan kadar yang positif iaitu kira-kira 219000 hektar dan terus meningkat kepada 322000 hektar pada tahun 1913.
Getah begitu ketara di negeri pantai barat di sebabkan kesinambungan penggunaan infrastruktur yang telah wujud sejak zaman timah lagi. Landasan keretapi dan jalan raya berfungsi sebagai penghubung dalam mengangkut susu getah ke bahagian pesisir pantai bagi tujuan eksport. Tempoh masa Perang Dunia Pertama sedikit sebanyak telah menjejaskan peranan getah, lebih parah lagi dengan wujudnya getah tiruan yang menyaingi getah asli. Kemelesetan semakin meruncing pada awal tahun 1930 menyebabkan peraturan getah telah telah ditanda tangani bagi mengurangkan pengeluaran getah dunia. Merujuk kepada zaman pendudukan Jepun getah semakin kurang diusahakan kesan daripada keadaan semasa yang huru-hara, namum pada masa selepas itu industri getah mula menampakkan sinarnya.

6. Minyak Sawit
Menjelang tahun 1917 kemunculan ladang kelapa sawit yang pertama telah menampakkan usaha untuk mengkomersilkanya. Penggunaanya melibatkan pembuatan sabun, lilin, fluks, menyadur timah, majerin, minyak sayur, gris dan minyak untuk enjin pembakaran. Namun demikian penggunaannya hanya bersifat sedikit sehingga merosotnya harga getah telah menyebabkan pihak syarikat yang terlibat mencari tanaman ganti. Bagaimanapun pembangunan secara besar-besaran dilakasanakan menjelang tahun 1924 apabila tiga buah syarikat getah dalam Guthrie telah menubuhkan Kelapa Sawit Malaya Berhad. Kemudian terdapat firma lain mencuba nasib dalam tanaman ini dan berharap mendapat pulangan yang besar. Modal yang besar dalam pengoperasian memerlukan tenaga yang pakar sering merusingkan pihak kolonial dan secara tidak langsung mengekalkan tanaman ini berdekatan dengan kawasan getah agar mendapat manfaat daripada infrastruktur getah itu sendiri. Kebanyakkan ladang sawit terdapat di kawasan pantai barat dan bertambah besar sehingga tahun 1930-an. Komoditi ini mencatatkan pertumbuhan pengeluaran yang memberangsangkan contohnya pada tahun 1938 telah berjaya meningkat kepada 58300 tan iaitu 11% daripada pengeluaran minyak sawit dunia. Kemajuan ini telah dibantu dengan kemasukan teknologi baru serta kepakaran yang tinggi dalam teknik penanaman. Menjelang pendudukan Jepun banyak ladang telah musnah serta terbakar. Justeru pengeluarannya terhenti seketika dan bersambung semula selepas perang.

7. Komoditi Padi
Padi pada asalnya berkisar dalam kalangan masyarakat tempatan namun menjelang kemasukan imigran luar ke Tanah Melayu menyebabkan bahan makanan ini amat diperlukan untuk menampung bekalan. Penanaman secara aktif telah di syorkan oleh kerajaan kolonial disebabkan pertambahan penduduk, hal ini disokong dengan wujudnya keadaan di mana kesemua manusia yang ada memerlukan beras sebagai makanan ruji. Pemintaan semakin pesat serentak dengan kemerosotan pekerjaan tradisional seperti pertukangan telah menyebabkan ramai masyarakat khususnya Melayu memperbesarkan kawasan padi mereka. Contohnya bermula sejak akhir kurun ke-19 golongan bangsawan di Kedah telah memperluaskan kawasan padi sehingga ke kawasan barat laut negeri. Sementara itu kerajaan negeri juga telah memperkenalkan sistem saliran secara besar-besaran bagi mengairi sawah padi dengan lebih sistematik lagi. Secara keseluruhannya 60 % dari kawasan padi di Tanah Melayu berada di kawasan seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak manakala 23 % lagi di negeri Kelantan dan Terengganu. Bagi Borneo Utara dan Sarawak padi telah ditanam berdasarkan kepada keperluan kecil sahaja kerana masih terdapat masyarakat yang hidup secara pindah. Secara keseluruhanya Padi juga mengalami perkembangan yang positif kesan daripada pertambahan penduduk Di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

8. Pembangunan Ekonomi Malaysia Timur
Pada tahun-tahun awal pembabitan Syarikat Berpiagam Borneo Utara pelbagai tanaman telah cuba diusahakan bagi meningkat kadar pertumbuhan ekonomi. Bagi di Sarawak pula pihak Rajah juga ada memperlakukan perkembangan ekonomi namun ianya tertakluk demi mempertahan kan hak pribumi. Hal ini merujuk kepada dasar kerajaan Brooke sendiri yang mahukan hak pribumi dipertahankan.
Merujuk pada kegiatan di Borneo Utara tanaman asing bukan menjadi komoditi utama tetapi hasil asli yang banyak menyumbang, contohnya sarang burung layan-layang. Sarang burung ini merupakan bahan hidangan sup masyarakat Cina yang dipungut daripada kawasan gua dan terus di eksport ke Hong kong. Meskipun demikian industri pembalakkan dilihat lebih mendatangkan hasil yang lumayan dalam dekad terakhir kurun ke-19 yang didorong oleh pemintaan kayu bagi pembinaan landasan keretapi. British Borneo Trading and Planting Company merupakan syarikat yang terbesar menegendalikan aktiviti ini. Kemudian sebuah syarikat baru telah muncul iaitu British Borneo Timber Company yang telah mendapat hak penebangan balak selama lebih 25 tahun. Eksport kayu balak telah meningkat kepada 178000 tan dan perlabuhan Sandakan dijadikan hub pemasaranya keluar negeri. Berbanding dengan Tanah Melayu demam getah juga melanda Sabah sekitar awal kurun ke-20. Kadar pertumbuhannya mungkin agak lambat tetapi setelah timbul kesedaran banyak kawasan baru di teroka bagi merealisasikan usaha ini disamping kemudahan seperti pengangkutan dan perhubungan. Kewujudan getah di Borneo Utara dan Sarawak adalah seiring dengan keadaan di Tanah Melayu yang mana beralih daripada tempoh kemuncaknya sehingga keadaan kemelesetannya sekitar tahun 1930-an. Kesemua ini dilihat serentak berlaku di seluruh dunia bukan sahaja di Tanah Melayu mahupun Borneo Utara dan Sarawak.
Di Sarawak pula seperti yang telah diperkatakan tadi dasar awal pemerintah Brooke yang mahukan pengekalan ekonomi terhadap pribumi menjadi teras kepada perkembanganngannya. Namun masih terdapat kelonggaran kepada syarikat luar seperti Borneo Company yang menguasai ekonomi di Sarawak. Seperti mana di Borneo Utara Sarawak juga merupakan pembekal kayu balak yang unggul. Pengeluarannya mengatasi pengeluaran getah yang ada pada ketika itu malah mampu menjana pendapatan negeri secara jangka panjang. Pada tahun 1895 minyak telah dijumpai di Miri namun hal ini hanya tertakluk kepada pengeluaran yang kecil. Selain itu juga arang batu dan raksa telah dijumpai dan turut membantu pendapatan negeri. Syarikat Borneo Company pernah mengalami tempoh masa kemelesetan sekitar 1900-an namum telah berjaya meningkatkan keuntungan secara perlahan dan mampu bertahan sebelum kedatangan Jepun.
Percubaan telah mula dibuat dalam mempersiapkan infrastruktur bagi kemudahan sosio-ekonomi di Malaysia Timur ketika itu. Hal ini di sebabkan kefahaman yang tidak sama dengan Pentadbiran Kolonial Tanah Melayu serta jaminan pasaran yang berbeza dalam tempoh yang sama. Maka, walaupun terdapat perbezaan dalam menentukan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi kedua-dua kawasan namun menjelang kemerdekaan dan penyatuan kesemua hal ini dapat diselaraskan.
9. Penutup
Secara keseluruhannya perbincanagan yang telah dilakukan tadi merangkumi perbandingan kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia Barat dan juga Malaysia Timur. Terdapat pelabagai huraian yang telah dibuat berdasarkan beberapa aspek yang menyokong setiap hujahan. Jelasnya terdapat pelbagai perbezan dari sudut positif dan negatifnya dalam perbincangan ini. Secara amnya perkembangan ekonomi sepanjang zaman Kolonial telah banyak membantu negara khususnya dalam pembentukkan struktur ekonomi yang ada pada hari ini. Kesinambungan yang berterusan telah memberikan manfaat kepada penduduk Malaysia khususnya. Meskipun terdapat pelbagai cabaran dalam memajukan sektor ekonomi ini namun semua masalah berjaya di selesaikan dengan baik. Seharusnya kita sebagai generasi penyambung warisan sepatutnya mengekalkan tradisi ini bagi menjamin generasi yang akan datang. Kukuhnya ekonomi sesebuah negara maka akan stabil setiap perancangannya untuk masa hadapannya. Justeru rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang.









10. Lampiran
Lampiran 1

Tahun Jumlah Pengeluaran
1905 400 tan
1911 11000 tan
1922 212000 tan
Jadual 1: Jumlah pengeluaran getah di Tanah Melayu

Lampiran 2
Tahun Harga (sepaun)
1890 $ 1.30
1906 $ 2.50
1910 $ 5.50
Jadual 2 : Harga getah di Tanah melayu berdasarkan tahun




Sumber: ARSEPPFMS, 1938 oleh INTAN, 1991 : 378



11. Bibliografi
Abdul Rahman Haji Ismail. (peny.). 2005. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Azmi Khalid. 1996. “Ekonomi Melayu Kurun ke-19: Sara Diri atau Komersil?” Dalam: Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif. Disunting oleh Tan Liok Ee dan Badriyah Haji Salleh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andaya, Barbara Watson and Leonard Y. Andaya. 2000. A History of Malaysia. Edisi ke-2. Basingstoke and London: Palgrave.
Badriyah Haji Salleh. 1990. “ Imperialisme Ekonomi: Kajian Kes Keatas Imperialisme Industri Getah di Tanah Melayu.” Dalam Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain. Disunting oleh Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Chai Hon Chan. 1967. The Economic Development of British Malaya. Edisi ke-2. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dan Negara-Negara Lain. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Irwin, Graham. 1965. Nineteenth Century Borneo. A Study In Diplomatic Rivalry. Singapura: Donald Moore.
Ranjit Singh, D.S. 2000. The Making of Sabah, 1865-1941: The Dinamic Of Indigenous Society. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

No comments:

Post a Comment